Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 Julai. - Antara hikmah dan tujuan Allah Subhanahu Wata'ala mensyariatkan zakat ialah untuk kemasalahatan golongan kaya atau keberkemampuan dapat mengagihkan zakat kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Di sinilah hebatnya Islam itu, mengajar kita bagaimana mengurus harta melalui zakat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian semasa berangkat mengadakan Keberangkatan Tidak Berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), di Jalan Dewan Majlis, di sini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah, kita di Brunei mempunyai Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal (JUZWAB) untuk mentadbir hal ehwal zakat termasuk menjadi harapan kita untuk mencapai matlamat kedua Wawasan Negara, iaitu kualiti kehidupan rakyat yang tinggi.
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia lagi, dalam lingkungan tempoh masa sebelum menjelangnya tahun 2035, urus tadbir institusi zakat yang cekap dapat menyumbang kepada keberkesanan pengurusan kewangan zakat.
Oleh itu baginda menekankan, KHEU khususnya JUZWAB hendaklah memastikan sebarang masalah komunikasi yang kurang cekap di semua peringkat untuk diperbaiki supaya tidak menjadi penghalang kepada pencapaian matlamat dan kemajuan JUZWAB.
"Beta turut menyokong penggunaan teknologi digital dalam urus tadbir zakat demi memudahkan dan mempercepatkan proses pengurusan zakat khasnya dalam hal penilaian permohonan dan pengagihan zakat supaya menjadi lebih efisien, cepat, tepat dan konsisten.
"Adakah JUZWAB sudah memiliki atau menggunakan teknologi digital seperti ini? Jika ya, beta ingin mengetahui keberkesanan penggunaan teknologi digital yang dipakai itu, dan jika belum, apakah sebabnya?" titah baginda lagi.
Menurut titah kebawah DYMM lagi, Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) juga perlu diutamakan supaya lebih ramai asnaf yang terpilih mampu menjana ekonomi masing-masing secara berterusan.
Perkara yang baik seumpama ini titah baginda, jangan ia dilengah-lengahkan sehingga mengambil masa bertahun-tahun untuk mengadakan satu projek.
Kebawah DYMM turut bertitah, project management yang teratur mestilah dilaksanakan oleh PROPAZ dengan peruntukan timeline yang munasabah supaya permasalahan dapat ditangani lebih awal, dan jika pihak JUZWAB belum mahir dalam perkara ini, maka boleh saja belajar atau bekerjasama dengan pihak lain.
"Beta ingin menyebut mengenai bantuan pembinaan rumah untuk asnaf zakat yang layak mendapat pembiayaan melalui kumpulan wang zakat dan harta Baitulmal.
"Beta ingin tahu adakah masih ramai asnaf yang menunggu giliran mereka? Sepatutnya mana-mana asnaf yang benar-benar memerlukan bantuan, hendaklah dengan segera dipantuni," titah baginda lagi.
Dalam titah, Kebawah DYMM juga menegaskan mahu jawatankuasa pandu (steering committee) ditubuhkan bagi pengurusan pengagihan zakat dan kemajuan tanah-tanah wakaf dan harta Baitulmal.
Keahliannya tambah titah baginda, perlu dipelbagaikan bukan hanya dari mereka yang memiliki latar belakang agama tetapi juga termasuk juga yang memiliki latar belakang lain yang mempunyai kemahiran dalam bidang-bidang tertentu seperti bidang keusahawanan, dan juga pihak swasta.
Kebawah DYMM juga bertitah menegaskan, ahli-ahli yang terlibat di bawah Sistem Kebajikan Negara (SKN), jawatankuasa tersebut juga perlu untuk menghadapkan laporan berserta statistik-statistik rasmi terkini setiap enam bulan ke mesyuarat Menteri-menteri Kabinet untuk dijadikan agenda perbincangan mengenainya.